Friday, July 13, 2007

Sejarah Penubuhan Kelab UMNO Luar Negara

-Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang-
Berdasarkan simpanan badan sejarah Arkib UMNO, Kelab UMNO Luar Negara pertama kali dikesan penubuhannya ialah pada 1956 di New York, Amerika Syarikat. Tujuan penubuhan Kelab ini adalah bertumpu menyatukan masyarakat Melayu dan para pelajar yang bermastautin di sana.
Bagaimanapun sejarah penubuhan Kelab UMNO yang terawal didokumentasikan dengan terperinci dikenalpasti mula bergerak aktif secara sistematik di United Kingdom pada 1968. Pada 1970 pula, beberapa Kelab UMNO mula ditubuhkan dengan tujuannya menyatukan masyarakat Melayu serta pelajar yang ramai melanjutkan pelajaran atau bertugas di sana ketika itu. Dari sini, Kelab-Kelab UMNO Luar Negara mula bertambah pula ke negara-negara lain dengan matlamat dan tujuan sebagai pusat tumpuan pelajar serta masyarakat Melayu.
Berikutan bilangan pelajar dan masyarakat Melayu yang terus meningkat melanjutkan pelajaran atau bertugas di luar negara; UMNO telah memberikan tanggungjawab seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk memantaunya di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Khas Pelajar Luar Negara. Pada mulanya Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Selepas itu, pula disandang oleh Datuk Mohd Shafie Haji Apdal.
Daripada 32 Kelab sehingga Februari 2003, Kelab UMNO kini mencapai jumlah 42 kelab yang meliputi 14 negara di seluruh dunia serta lebih 4,000 ahli. Malahan banyak lagi Kelab UMNO telah membuat permohonan penubuhan khususnya di Eropah seperti di Jerman, Perancis, Switzerland dan di mana sahaja adanya ramai pelajar Melayu sejak kebelakangan ini. Ia jelas satu perkembangan mantap keyakinan umat Melayu terhadap UMNO bukan sahaja dalam negara tetapi juga mereka yang berada di luar negera.
Kelab UMNO Luar Negara terus melangkah ke hadapan dengan kini mampu membuka Sekretariatnya sendiri untuk menguruskan kegiatan Kelab-Kelab UMNO di seluruh dunia yang berpejabat di Suite 3.2, Aras 5 Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Ia juga kini telah di bentuk mengikut zon-zonnya tersendiri untuk membolehkan pengawasan dan penyaluran maklumat yang berkesan serta bersepadu.

No comments: